Menjadi Remaja Yang Positif

Menjadi remaja memberi peluang untuk kita belajar tentang hidup. Remaja belum sampai ke tahap matang dan dewasa. Justeru bersikap positif terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan memberi pedoman kepada remaja supaya dapat membezakan jalan yang benar dan salah.

Remaja sememangnya memiliki rasa ingin tahu yang tinggi dan proses ingin tahu itu perlu disuburkan dengan sikap positif. Pemikiran positif bermaksud tidak timbul sangka buruk atau prasangka terhadap sesuatu yang berlaku. Pemikiran positif adalah pemikiran yang menjurus ke arah keupayaan dan bukannya ketidakupayaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik dan membina.

Rasa ingin tahu membolehkan remaja bertanya, mengkaji, menyiasat, membuat pertimbangan tentang benar dan salah akan sesuatu yang atau bertindak atas apa yang berlaku. Rasa ingin tahu adalah suatu dorongan fitrah dan proses belajar akan makna sesuatu. Sesetengah orang tahu sesuatu melalui pertanyaan, perkongsian, pengalaman atau maklumat. Sikap positif memberikan remaja data dan fakta yang berguna untuk membantu membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang berlaku.

Rasa ingin tahu yang diisi dengan maklumat, ilmu dan pengalaman yang benar dan betul boleh meningkatkan kefahaman remaja terhadap sesuatu perkara. Rasa ingin tahu yang diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran menjadikan remaja manusia yang memahami. Memahami sesuatu bahasa, ilmu, fakta dan data membantu mematangkan fikiran.

Ciri-ciri Remaja Positif

Remaja yang positif perlu memiliki ciri-ciri yang positif. Anda adalah remaja positif jika memiliki sifat-sifat yang menunjukkan anda seorang yang positif. Antara cirri-ciri dan sifat yang perlu ada dalam diri remaja agar menjadi positif adalah;

  • Bijak

Bijak adalah sifat yang cerdik, pandai dan pintar. Remaja positif perlu bijak. Definisi bijak bukan berasaskan mengetahui pelbagai perkara dan kemahiran semata-mata, tetapi takrif bijak yang sebenar ialah mampu membezakan baik dan buruk serta mampu menterjemahkannya dalam bentuk perbuatan, tindakan dan perkataan. Itulah kebijaksanaan yang sebenar. Bijak bukan bermakna remaja hanya berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang tetapi berakhlak buruk dan terlibat dalam gejala moral yang negatif. Remaja yang tahu menggunakan akal dengan rasional , tahu mengawal keinginan dan nafsu, berjaya menjauhi segala pengaruh dan anasir jahat adalah remaja yang bijak. Remaja yang tidak tahu mengawal emosi, membuat keputusan salah, melakukan aktiviti tidak bermoral, membenci guru dan tidak rasional dalam tindakan adalah remaja yang tidak bijak.

  • Berilmu

Bak kata cendekiawan, ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya. Ilmu adalah entiti penting dalam kehidupan manusia. Tanpa ilmu, manusia akan menjadi mundur dan terkebelakang berbanding manusia lain. Persaingan mengejar kemajuan dan kekayaan kini adalah berasaskan pengetahuan.

Remaja positif ialah remaja yang berilmu dan mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan.  Remaja berilmu adalah remaja yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam menghadapi kehidupan dan cabaran. Pada masa kini ramai remaja terlibat aktiviti negatif bukan disebabkan tiada ilmu, tetapi tidak tahu memanfaatkan ilmu. Dalam dunia ini ilmu boleh dikategorikan kepada dua bahagian,  iaitu ilmu positif dan ilmu negatif.  Ilmu positif ialah ilmu yang memberi manfaat dan memandu remaja kea rah positif, manakala ilmu negatif adalah ilmu yang tidak berguna dan membawa remaja kea rah yang negatif.

Remaja positif adalah remaja berilmu dengan ilmu positif dan mempraktikkannya dalam kehidupan. Ilmu positif adalah sumber pengetahuan yang penting kepada remaja. Anda tidak akan berjaya menjadi remaja yang positif jika dipenuhi dengan pelbagai ilmu negatif. Pelbagai pengetahuan yang berbentuk positif perlu dimanfaatkan remaja. Jangan kotorkan minda dan jiwa dengan pengetahuan yang tidak berguna dan membawa kerugian kepada diri remaja.

  • Memiliki Jati Diri

Jati diri adalah kekuatan kepada seseorang dalam menyeimbangkan akal, jasmani dan rohani. Remaja positif perlu memiliki jati diri yang kukuh dan kuat. Jati diri adalah sumber kekuatan dalaman individu yang wujud dalam diri seseorang. Kebanyakan salah laku, akhlak buruk, mudah terpengaruh dengan gejala negatif, adalah berpunca daripada ketiadaan jati diri dalam diri remaja. Jati diri boleh wujud jika kita sendiri yang berusaha mencari jati diri. Segalanya bergantung kepada kemahuan diri sendiri.

  • Doa

Doa adalah senjata orang yang beriman. Remaja perlu sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan jati diri. Jati diri perlu dicari dengan menggunakan kekuatan ilmu, usaha berdasarkan rasional dan doa.Jati diri amat penting kepada remaja yang mahu menjadi remaja positif. Kekuatan diri adalah penangkis kepada segala keburukan dan kejahatan. Jati diri adalah unsur penting dalam diri remaja. Jati diri perlu ditambah dan diperkuatkan sepanjang masa. Sebagaimana iman itu bertambah dan berkurang, begitulah juga dengan jati diri. Menambah baik dan membangunkan jati diri berterusan akan menambahkan kekuatan dalaman yang lebih kukuh dan sejati.

  • Berwawasan

Wawasan adalah penting kepada seseorang. Remaja yang tiada wawasan adalah remaja yang hidup tanpa matlamat. Jika anda ingin menjadi remaja yang positif, anda perlu memiliki wawasan. Ketika kecil, anda perlu memiliki angan-angan kerana waktu kecil anda tidak memahami matlamat hidup dengan jelas dan terperinci. Namun apabila menjengah usia remaja, anda perlu menukar angan-angan kepada wawasan kerana anda telah memahami erti sebuah kehidupan. Rangkalah pelan serta cita-cita, serta fokus dalam merealisasikan wawasan anda. Apa pun wawasan anda, ia perlu disertai usaha dan komited dalam mencapai wawasan. Wawasan tanpa usaha dan komited adalah ibarat mencurah air ke daun keladi.

  • Amanah

Amanah adalah sifat terpuji dan perlu ada dalam diri remaja. Sifat amanah bukan mudah diperoleh seseorang. Amanah adalah sifat yang perlu ditanam. Usaha untuk mewujudkan amanah dalam diri perlu dibentuk dan dibaja dalam kehidupan seharian. Amanah dalam pergaulan, amanah dalam persahabatan, amanah dalam menggunakan wang dan segenap kehidupan. Contoh sikap yang tidak amanah ialah apabila anda meminta wang daripada ibu bapa kononnya untuk membeli buku dan bahan pelajaran, tetapi anda menggunakan wang tersebut untuk membuang masa bermain game dan internet. Jika anda memberitahu ibu ayah untuk ke rumah kawan bagi mengulangkaji pelajaran, tetapi sebenarnya anda melencong ke tempat lain bersama kekasih maka itu juga tidak amanah. Jika anda membocorkan rahsia ibu bapa kepada orang lain juga adalah sikap tidak amanah. Jika anda menyembunyikan kesalahan pelajar sekolah yang melakukan salah laku juga adalah sikap tidak amanah. Sifat amanah akan melahirkan kepercayaan orang lain dengan kita. Sifat amanah juga akan melahirkan rasa yakin orang lain kepada kita.

  • Utamakan Pelajaran

Sebagai remaja yang baik, anda perlu utamakan pelajaran. Berjaya dalam pelajaran adalah asas mendapat pekerjaan yang lebih baik. Mendapat pendidikan sempurna akan memberikan peluang kepada remaja mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Orang yang berilmu juga akan lebih dihormati oleh masyarakat. Remaja yang positif akan sentiasa utamakan pelajaran. Usia remaja anda adalah sangat berharga. Apabila mendapat peluang untuk belajar, maka belajarlah bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Peluang belajar perlu dimanfaatkan. Jangan habiskan masa belajar sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun sekadar cukupkan syarat sebagai pelajar. Kejayaan boleh dicapai asalkan ada usaha yang berterusan dan sentiasa komited.

  • Menjaga Maruah Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan insan yang paling banyak berkorban untuk kita yang bergelar anak. Ibu bapa yang telah memberi kita kasih sayang, menjaga dan membesarkan kita sehingga kita berakal dan boleh menjalani kehidupan sempurna mengikut cara yang kita inginkan. Oleh itu sangatlah penting untuk kita menjaga maruah ibu bapa. Antaranya ialah dengan tidak melakukan sesuatu tindakan dan perbuatan yang menjatuhkan air muka ibu bapa di kalangan guru-guru, teman-teman, jiran dan orang sekeliling yang mengenali ibu bapa anda. Maruah ibu bapa adalah sangat penting dan amat sensitif jika dimalukan. Perbuatan memalukan atau menjatuhkan maruah ibu bapa akan membuatkan orang sekeliling memandang rendah dan tidak menghormati mereka. Anak-anak yang melakukan perbuatan buruk dan jahat juga akan menyebabkan ibu bapa terpaksa menanggung malu dan dipandang buruk oleh masyarakat. Maka, menjaga maruah ibu bapa adalah kewajipan anak-anak dan ia merupakan ciri remaja yang positif. Jika anda benar-benar menyayangi dan menghargai ibu bapa, maka jagalah maruah dan harga diri ibu bapa anda.

  • Menghargai dan Menghormati Guru

Sejak kecil, guru merupakan antara insan yang selalu kita berhadapan kerana merekalah yang mendidik kita daripada tidak tahu apa-apa sehingga kita tahu tentang banyak perkara mengenai kehidupan. Guru mendidik kita mengenal abjad dan huruf sehinggalah kita kenal ilmu sains, matematik, sejarah, ekonomi dan lain-lain. Menghargai dan menghormati guru menunjukkan kita menghargai manusia yang amat berjasa kepada kita, sekaligus mencerminkan diri kita sebagai seorang remaja yang berperibadi mulia dan tahu mengenang budi.  Harus diingat oleh para remaja juga bahawa apabila mereka melakukan perbuatan yang menyusahkan guru mahupun menyakitkan hati mereka, itu bermakna remaja tersebut tidak menghargai guru. Menghargai guru bukan dengan memberi hadiah pada Sambutan Hari Guru atau ulangtahun kelahiran mereka semata, tetapi dengan berusaha mendapatkan kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran, diiringi dengan akhlak yang baik serta menjauhkan diri daripada perbuatan negative atau salah laku yang tidak bermoral.

Penutup

Dalam konteks kehidupan remaja pada masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang dalam kalangan remaja menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Menjadi positif tidak bermakna remaja perlu menerima sesuatu dengan bulat-bulat tanpa usul periksa. Sebaliknya, ia menggalakkan remaja supaya berlapang dada dalam mencari sesuatu maklumat dan bersedia menerima kebenaran.

Apabila rasa ingin tahu remaja dikayakan dengan proses pembelajaran yang betul, ia akan menghasilkan kefahaman yang tinggi terhadap sesuatu perkara. Seterusnya memungkinkan remaja itu menjadi dewasa dengan ilmu dan pemikiran yang seimbang.

Rujukan: http://www.myhealth.gov.my/memahami-remaja/


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *