Payudara Saya Normal ke?

Persoalan-persoalan ini selalu timbul dalam fikiran kebanyakan remaja perempuan. Sama ada anda mungkin sedang mengalami perubahan payudara atau membandingkan dengan saiz payudara rakan sebaya atau wanita lain yang berbeza, adalah normal bagi persoalan-persoalan ini timbul. Dengan mengetahui apa yang normal atau tidak, ini akan membantu anda menilai dan menjaga kesihatan payudara anda dengan baik.

Kenapa payudara saya kecil?

Selain tempoh masa perkembangan payudara yang berbeza dan unik bagi setiap wanita, payudara wanita juga berbeza-beza dari segi saiz mahupun bentuk. Ada yang besar, ada yang lebih kecil. Tidak terdapat hanya satu bentuk atau saiz payudara yang normal. Begitu juga dengan bentuk, warna dan saiz puting dan areola yang berbeza antara wanita.

Perkembangan payudara ketika remaja mengambil masa 4 hingga 5 tahun. Jadi, jangan khuatir jika payudara masih kecil dan berikan masa untuk ia membesar. Fasa pertumbuhan akan berlaku secara semulajadi sehingga mencapai saiz normal yang berbeza bagi setiap orang. Dan adalah normal sekiranya payudara kekal kecil apabila mencapai dewasa. Faktor genetik adalah faktor utama dalam menentukan saiz dan bentuk payudara seseorang. Jika ibu atau ahli keluarga mempunyai payudara yang kecil, besar kemungkinan anda juga mempunyai payudara yang kecil.

Apa yang saya boleh buat untuk besarkan payudara?

Perkembangan payudara adalah proses semulajadi dan tiada perkara yang boleh anda lakukan dalam kehidupan harian untuk mengubah prosesnya.

Tiada krim, senaman khusus atau cara pemakaian tertentu yang terbukti secara saintifik boleh mengubah saiz payudara seseorang. Berhati-hati dengan scam penipuan krim atau pil yang dikatakan boleh membesarkan payudara. Krim atau pil di pasaran mungkin mengandungi bahan yang berbahaya kepada kulit dan kesihatan anda, maka janganlah mengambilnya. Begitu juga dengan urutan yang kerap, tidak terbukti berkesan, malah boleh menyakitkan payudara anda kerana kulit dan puting payudara amat sensitif.

Ada pihak yang mempromosi senaman tertentu untuk membesarkan payudara. Namun faktanya, sebahagian besar komposisi payudara terdiri dari tisu lemak, bukannya otot, maka senaman tidak memberi kesan besar terhadap saiz payudara. Berkenaan faktor pertambahan atau pengurangan berat badan pula, walaupun mungkin boleh memberi kesan terhadap saiz, ia tidak menyebabkan perbezaan yang signifikan pada saiz asal payudara.

Namun begitu, senaman dan badan yang sihat dapat memberikan anda keyakinan, maka teruslah amalkan bersenam!

Bagaimana pula jika payudara terlalu besar dan tidak selesa? Apa yang boleh saya lakukan?

Ada remaja yang merasakan payudaranya terlalu besar serta mengganggu kehidupannya. Anda mungkin berasa malu atau terganggu dengan payudara yang sakit, kesakitan pada bahu atau belakang, ketidakselesaan memakai bra atau mengganggu aktiviti senaman. Sekiranya payudara anda dirasakan terlalu besar dan tidak selesa, antara perkara utama yang membantu adalah dengan memakai bra yang sesuai supaya dapat membantu menyokong payudara dengan selesa. Anda disarankan mencari bra yang mempunyai tali yang lebar serta saiz cup yang menyokong. Dapatkan bantuan jurujual yang berpengalaman di pasaraya atau kedai lingerie untuk mengukur saiz bra yang sesuai untuk anda. Jika anda mempunyai berat berlebihan, mengurangkan berat badan sedikit sebanyak dapat membantu. Payudara yang besar juga berisiko mendapat ruam atau jangkitan kuman di lipatan bawah payudara. Pastikan anda menjaga kebersihan supaya kawasan tersebut tidak terlalu lembap dan berpeluh.

Betulkah perlu memakai bra ketika tidur supaya payudara tidak kendur?

Bentuk payudara dikekalkan oleh sokongan ligamen dan tisu penghubung pada payudara. Sebenarnya, pemakaian bra adalah subjektif dan bergantung kepada keselesaan seseorang. Bra membantu membentuk dan memposisi payudara dengan selesa ketika memakainya, serta membantu memberi sokongan kepada badan terutamanya apabila aktif. Namun, ia tidak menyebabkan perubahan pada saiz atau bentuk semulajadi payudara.

Terdapat pelbagai pandangan tentang pemakaian bra semasa tidur, namun ia bergantung kepada keselesaan seseorang. Ada yang lebih selesa memakainya ketika tidur, ada yang tidak. Jika anda mahu memakai bra ketika tidur, disarankan memakai bra yang ringan tanpa dawai supaya payudara tidak ditekan dan memastikan pengaliran darah yang baik.

Kenapa payudara saya tak sama saiz antara kedua belah?

Ramai wanita mempunyai saiz payudara yang berbeza antara kedua belah. Terutamanya pada peringkat baligh, adalah normal bagi setiap belah payudara berkembang dengan kadar yang berbeza. Selalunya saiz keduanya menjadi hampir sama apabila tamat fasa pertumbuhan (iaitu 3 hingga 5 tahun selepas mula perkembangan). Namun ada yang mendapati saiz kedua payudara jelas berbeza (iaitu beza lebih dari 1 saiz cup bra). Dalam kebanyakan keadaan, ini juga normal, iaitu tiada masalah kesihatan payudara lain yang membimbangkan. Namun jika keadaan ini mengganggu anda, jumpalah doktor untuk mendapatkan pandangan dan cuba menggunakan span atau gel inserts yang boleh didapati di kedai lingerie (pakaian dalam).

Normalkah puting payudara saya seperti tertolak ke dalam (tidak timbul)?

Jika puting kelihatan seperti tertolak ke dalam, anda mungkin mempunyai “puting terbenam’’ (inverted nipples). Seramai 10% – 20% remaja perempuan mempunyai puting terbenam sama ada di sebelah atau kedua belah payudara. Ini adalah normal dan tidak menyebabkan masalah kesihatan. Mungkin anda mendapat saranan cara-cara untuk menarik keluar puting anda. Namun tiada kaedah yang terbukti mengekalkan puting keluar tanpa rangsangan berterusan. Bagi yang mempunyai puting terbenam, penting untuk pastikan sentiasa dibersihkan bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman pada celahan lipatan kulit di sekeliling puting.

Jika puting anda sebelum ini timbul, tetapi berubah tiba-tiba menjadi terbenam, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Bolehkah saya nanti menghasilkan susu badan jika payudara saya kecil atau puting saya terbenam?

Saiz payudara tidak menentukan seseorang ibu dapat menyusukan bayinya dengan baik atau tidak. Perbezaan saiz payudara antara wanita sebahagian besarnya bergantung kepada jumlah tisu lemak pada payudara, bukannya jumlah kelenjar susu. Payudara akan mengalami perkembangan lagi semasa mengandung iaitu kilang susu, iaitu kelenjar mammary dihasilkan dengan lebih banyak. Oleh itu, hampir kesemua wanita secara biologi boleh menyusukan bayinya, kecuali segelintir yang mempunyai masalah kesihatan tertentu. Berkenaan puting terbenam pula, walaupun mungkin mendatangkan halangan, namun ramai juga ibu boleh menyusukan bayinya dengan baik tanpa memerlukan persediaan puting (nipple preparation). Dengan bantuan kaunselor laktasi atau doktor bagi ibu boleh mempelajari teknik lekapan yang baik sebelum melahirkan bayi.

Payudara saya terasa sakit. Adakah normal? 

Kesakitan payudara biasa dialami oleh remaja yang selalunya disebabkan kesan dari proses pertumbuhan payudara di mana kulit dan tisu meregang untuk membesar. Ramai remaja juga mengalami kesakitan payudara beberapa hari sebelum atau semasa waktu haid. Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang normal dan tidak berbahaya. Jika sakit hilang selepas waktu haid, anda tidak perlu risau. Namun jika sakit amat tidak menyelesakan, pengambilan ubat tahan sakit dapat membantu mengurangkan kesakitan. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapat nasihat dan rawatan. Adakalanya juga kesakitan disebabkan penggunaan saiz bra yang tidak sesuai dan menekan pada tisu payudara terutamanya bra yang berdawai.

Jumpa doktor segera jika sakit hanya pada bahagian setempat tertentu pada payudara, atau tidak hilang mengikut waktu haid, atau terdapat simptom lain seperti tanda kemerahan, lelehan dari puting yang mungkin petanda masalah kesihatan lain seperti jangkitan kuman.

Bagaimana jika terdapat benjolan di payudara? Adakah in petanda kanser? 

Jika anda mendapati benjolan pada payudara, jangan panik. Kanser payudara sangat jarang berlaku pada usia remaja. Malahan dalam dewasa, kajian juga menunjukkan 8 daripada 10 benjolan yang dikesan pada payudara adalah bukan kanser. Jadi apakah ia?

Payudara terdiri dari lobulus kelenjar dan saluran susu, tisu lemak dan juga tisu penghubung.  Ia mungkin corak atau gumpalan kelenjar payudara yang normal atau tisu payudara yang hiperaktif yang menyebabkan rasa seperti ada ketulan-ketulan pada payudara (lumpiness). Perubahan ‘lumpiness’  ini juga boleh lebih dirasai pada beberapa hari sebelum waktu haid disebabkan oleh perubahan hormon.

Antara sebab lain yang menjadi punca benjolan payudara adalah perubahan fibrosist (kantungan kecil berisi cecair) atau fibroadenoma. Selalunya keadaan fibrosist pada payudara dipengaruhi oleh perubahan hormon mengikut kitaran haid.  Manakala benjolan fibroadenoma pula tidak berubah mengikut kitaran haid. Kedua-dua keadaan ini adalah benign iaitu bukan kanser dan tidak berbahaya. Namun, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi menentukan sama ada perlu diambil sampel biopsi untuk mengesahkan jenis benjolan atau perlu rawatan seterusnya.

Selain itu, jangkitan kuman juga boleh menyebabkan benjolan. Sekiranya anda merasai benjolan dan bimbang, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan penjelasan. Dapatkan nasihat dengan segera jika terdapat benjolan yang tidak berkait dengan kitaran haid; benjolan yang merah dan kepanasan; benjolan pada bahagian bawah ketiak, atau lelehan dari puting.

Ingatlah kebanyakan benjolan adalah normal dan tidak berbahaya, namun amat membantu anda sekiranya berjumpa awal doktor untuk mendapatkan kepastian.

Bolehkah remaja mendapat kanser payudara?

Kanser payudara amat jarang berlaku dalam kalangan remaja. Namun amat penting untuk anda mempelajari dan lakukan pemeriksaan payudara bagi memastikan simptom awal (jika ada) dapat dikesan dan meningkatkan peluang untuk rawatan awal.

Bagaimana kalau terdapat cecair yang keluar dari puting payudara saya?

Cecair yang keluar dari puting selain ketika mengandung atau menyusu dikenali sebagai lelehan puting (nipple discharge). Apabila ia keluar ketika puting ditekan atau dipicit, dan berwarna jernih atau putih, besar kemungkinan ia normal. Elakkan dari terus memicit puting kerana boleh merangsang lagi pengeluaran lelehan tersebut. Namun jika lelehan keluar dengan spontan tanpa ada rangsangan pada puting mungkin disebabkan oleh kesan sampingan ubat tertentu, atau masalah kesihatan seperti penyakit tiroid. Jika lelehan berwarna kuning, kehijauan, coklat atau darah, ia tidak normal dan menandakan masalah kesihatan antaranya jangkitan kuman. Anda perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut serta rawatan daripada doktor. 

Saya selalu mendapat ruam pada payudara. Apakah yang boleh saya lakukan?

Terdapat pelbagai punca ruam terjadi pada payudara. Selalunya ruam pada payudara tidak berbahaya. Antaranya alahan terhadap pakaian/bra, penyakit kulit seperti ekzema atau psoriasi, reaksi alahan terhadap makanan atau produk cucian.

Ruam juga boleh menjadi petanda jangkitan kuman payudara. Terutamanya jika diiringi dengan kesakitan payudara, lelehan puting atau demam. Ruam di bawah lipatan payudara juga mudah terjadi disebabkan oleh jangkitan kuman fungal, kerana kawasan yang mudah lembap dan tertutup. Oleh itu, amat penting untuk pastikan menjaga kebersihan dan kesihatan kulit pada payudara. Gunakan sabun badan yang sesuai untuk kulit yang sensitif. Serta elakkan pemakaian bra yang berterusan tanpa rehat terutamanya waktu tidur supaya payudara mendapat pengaliran udara yang baik.

Kebanyakan ruam payudara boleh dirawat dengan baik bergantung kepada puncanya. Jarang sekali ruam petanda masalah payudara yang lebih serius seperti kanser. Berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan yang sesuai.

Normal ke ada rambut halus di bahagian puting?

Ada remaja yang mempunyai rambut halus pada puting payudara. Ini adalah normal. Jika keadaan ini mengganggu anda, boleh gunakan gunting kecil untuk mengemaskannya. Jangan mencabut hingga ke akar atau mencukur kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman atau mendatangkan kesakitan.

Bagi mereka yang mempunyai rambut halus yang banyak, ini juga mungkin petanda anda mengalami sindrom yang dikenali sebagai ‘Polycystic Ovarian’, terutamanya jika anda mengalami haid yang sangat tidak teratur. Jika kurang pasti atau risau, berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Kenapa ada kesan regangan (stretch marks) pada kulit payudara saya?  

Kesan regangan boleh wujud ketika payudara melalui fasa perkembangan kerana apabila kadar pertumbuhan berlaku dengan cepat. Ini adalah keadaan yang normal dan tidak mendatangkan masalah kesihatan payudara kemudian hari. Lama kelamaan kesan ini boleh menghilang dengan sendiri, cuma akan mengambil masa. 

Apakah biji-biji yang timbul di kawasan gelap keliling puting saya?

Biji-biji tersebut adalah normal, yang dikenali sebagai kelenjar Montgomery. Kelenjar ini berfungsi terutamanya ketika laktasi (apabila seorang wanita menghasilkan susu ibu). Seperti kelenjar di bahagian kulit lain yang menghasilkan sebum, jangkitan kuman atau keradangan boleh berlaku. Jika menjadi merah atau mengeluarkan cecair, berjumpalah dengan doktor untuk rawatan.

Bila saya perlu berjumpa doktor tentang payudara saya?

Sekiranya anda mempunyai:

  • Tanda-tanda jangkitan kuman payudara.
  • Lelehan puting selain tempoh penyusuan.
  • Terdapat ketulan yang tidak berkaitan dengan kitaran haid, yang membesar atau menyakitkan.
  • Kesakitan payudara yang tidak hilang/berkaitan dengan kitaran haid.
  • Masih tiada perkembangan payudara apabila mencapai umur 14 tahun.

Anda juga boleh berjumpa dengan doktor sekiranya masih mempunyai sebarang persoalan atau kerisauan tentang payudara anda.

Rujukan: http://myhealth.moh.gov.my/memahami-remaja/


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *