Perubahan landskap sosial hari ini telah banyak menyumbang kepada wujudnya pelbagai gangguan psikologi seperti tekanan perasaan, penagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa selain daripada kesihatan tubuh badan, kesihatan mental juga amat penting bagi menjamin kualiti hidup yang baik.
Berdasarkan Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, 4.2 juta atau 29.2% penduduk Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental. Negeri yang mencatatkan masalah kesihatan mental tertinggi adalah negeri Sabah (42.9%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (39.8%) dan Kelantan (36.0%). Antara lelaki dan perempuan, golongan perempuan mencatatkan masalah kesihatan mental tertinggi iaitu 30.8% berbanding golongan lelaki yang hanya mencatatkan 27.6%.
Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga meramalkan masalah kemurungan akan menjadi antara punca penyakit mental dan dijangka naik ke tangga kedua teratas selepas penyakit jantung.
Apa Itu Penyakit Mental?
Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses kognitif, perasaan dan tingkah laku seseorang yang boleh mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Berdasarkan Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa penyakit mental adalah antara lima (5) penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi. Tidak dapat dinafikan, kesejahteraan mental boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan kehidupan individu tersebut sekiranya ia tidak dirawat pada peringkat awal.
Remaja dan Isu Kesihatan Mental
Sejak kebelakangan ini, negara kita sering digemparkan dengan kes-kes jenayah mahupun tingkah laku devian yang dilakukan oleh golongan remaja. Ini kerana, setiap hari ada sahaja berita tentang kes buli dan keganasan yang dilaporkan di media massa atau media sosial yang sudah tentunya ada perkaitan langsung dengan isu kesihatan mental.
Kes seperti membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur sehingga mengorbankan pelajar dan guru suatu ketika dahulu begitu mengejutkan semua orang. Hanya bermotifkan dendam dan didakwa di bawah pengaruh dadah menjadikan remaja terbabit nekad untuk mencederakan dan membunuh penghuni di pusat tahfiz berkenaan. Gagal mengawal kemarahan dan seterusnya menjadi dendam membuatkan remaja ini tidak gentar melakukan jenayah.
Selain itu, perilaku mahu membunuh diri dalam kalangan usia remaja juga semakin meningkat sejak kajian NHMS 2012. Apa yang lebih mengejutkan adalah, pelajar tingkatan satu merupakan golongan yang paling ramai membuat percubaan membunuh diri. Kajian NHMS 2017 juga melaporkan terdapat golongan remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun yang mengalami masalah kesihatan mental. Satu dalam setiap lima orang mengalami kemurungan (18.3%), dua dalam setiap lima orang dilanda simptom keresahan (39.7%) dan satu dalam setiap 10 orang mengalami stress (9.6%).
Tanggal 1 Oktober 2018 pula, negara kita dikejutkan dengan kes bunuh diri calon ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di George Town, Pulau Pinang yang dipercayai terjun dari tingkat 11 rumahnya sebelum mayatnya dijumpai pekerja pembersihan pangsapuri berkenaan. Menurut sumber, siasatan awal mendapati remaja berkenaan dikatakan merajuk dengan ibunya dan sempat meninggalkan nota membunuh diri sebelum beliau ditemui mati.
Senario seperti ini kebiasaannya hanya akan kita tonton atau dengar berlaku di luar negara sahaja. Namun, sejak kebelakangan ini semakin hari semakin banyak kes-kes seumpama ini berlaku di negara kita dan apa yang lebih merungsingkan adalah ianya melibatkan remaja dan belia kita. Remaja merupakan bakal pemimpin negara dan mereka juga yang akan menentukan hala tuju pembangunan negara kita suatu masa nanti. Kesihatan mental biasa berlaku dalam masyarakat dan ia memerlukan rawatan sebagaimana penyakit lain dan tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat. Ia juga boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira usia, warna kulit, bangsa dan tahap pendidikan. Bak kata pepatah,mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Memetik kata mutiara sarjana, “jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini”.
Tips Menjaga Kesihatan Mental
Kesihatan mental boleh dikaitkan dengan keadaan sejahtera, sempurna pemikiran, emosi dan tingkah laku di mana individu itu dapat berfungsi melakukan kerja sehingga mencapai matlamat. Kesihatan mental dan spiritual amat penting dalam memperkasakan remaja ke arah pengamalan tingkah laku yang sihat. Mental yang sihat dapat mengekalkan fungsi biologi, psikologi, sosiologi dan kerohanian yang seimbang. Antara tips yang boleh diaplikasikan oleh remaja bagi menjaga kesihatan mental untuk kekal sihat adalah:
- Mengurus Diri Sendiri
- Menyedari kelemahan dan kekuatan diri sendiri.
- Berupaya mengawal perasaan.
- Sanggup menerima kegagalan.
- Merancang masa dengan baik.
- Mampu menghindari kegiatan yang tidak bermoral.
- Menghargai diri sendiri.
- Membuat keputusan secara bijak.
- Pergaulan Sosial Yang Sihat
- Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain.
- Mampu memberi dan menerima kasih sayang.
- Mencari kawan yang sesuai.
- Tahu menghargai dan mempercayai orang lain.
- Dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka.
- Berkongsi rasa dan luahan hati dengan orang yang boleh dipercayai.
- Bersedia Menghadapi Cabaran
- Berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah.
- Mampu mengatasi konflik dengan bijak.
- Mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.
- Bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya gagal menyelesaikan masalah harian.
- Belajar menangani kritikan dengan baik.
Bersedia menghadapi perubahan dalam hidup
Leave a Reply