Mula-mula sekali, remaja haruslah memahami perubahan emosi dan fizikal yang terjadi kepada diri apabila berubah menjadi remaja. Perubahan emosi yang dimaksudkan adalah datangnya nafsu syahwat dan keinginan seksual yang disebabkan oleh perubahan hormon seks yang semulajadi. Pada masa yang sama, perubahan fizikal luaran dan kematangan organ seksual berlaku seiring dengan perubahan emosi ini.
Akibat dari dorongan nafsu syahwat ini, remaja berasa sangat ingin tahu mengenai seks dengan lebih mendalam dan kadangkala terpengaruh untuk mencubanya. Inilah yang dipanggil eksperimentasi seksual. Keinginan seks ( sexual urge) pada umur remaja sangat tinggi (intense) akibat ledakan hormon seksual yang mendadak dan ini menyebabkan mereka mudah terangsang secara seksual dan kadangkala sukar mengawal diri dari terjebak dalam perlakuan seks yang terlarang.
Sebenarnya,keinginan melihat bahan lucah dalam bentuk gambar, video dan sebagainya adalah salah satu petanda perkembangan seksual remaja yang normal.
Walaubagaimana pun, menonton bahan lucah bagi remaja adalah satu perbuatan yang mendatangkan banyak kesan negatif. Antara kesan negatif tersebut ialah remaja akan terdorong untuk melakukan onani, mencuba perbuatan berbentuk seksual (seperti mencium,meraba dan memelok) keatas rakan atau teman mereka dan jika gagal mengawal diri, remaja boleh terdorong untuk melakukan perbuatan mencabul atau pun rogol. Kerap melihat bahan lucah juga boleh menyebabkan ketagihan dan ini tentu merosakkan remaja secara emosi. Remaja yang ketagih bahan lucah akan menontonnya berjam-jam setiap hari menyebabkan terjadi gangguan dalam rutin hidup mereka seperti gagal menyiapkan tugasan sekolah, kerap melakukan onani untuk melepaskan nafsu syahwat dan kurang berinteraksi dengan ahli keluarga atau orang lain. Akibatnya mereka kerap merasa letih, kurang tidur, ponteng sekolah atau kerja dan selalu resah.
Bagaimana menolak ajakan kawan yang mendesak anda menonton bahan lucah ini? Mudah sahaja, tetapkan pendirian anda dan nyatakan secara tegas bahawa anda enggan menyertai mereka. Pandang mereka di mata, keraskan badan dan ulangi peryataan TIDAK tersebut dengan tegas.
Nyatakan dengan sopan bahawa anda mempunyai prinsip hidup yang melihat seks sebagai suatu keperluan hidup yang penting dan mesti ditangani dengan baik dan secara terhormat. Melihat bahan lucah menjatuhkan nilai seks yang sebenar dan menjadikannya bahan murahan yang boleh dijaja tanpa rasa malu. Lagi pun perbuatan ini dilarang agama dan boleh memberikan kesan negatif yang banyak. Kemudian ajak kawan anda untuk melakukan aktiviti lain yang lebih sihat dan berfaedah seperti menonton wayang di pawagam, beriadah di luar rumah, berkumpul dengan teman lain di pusat beli-belah sambil bermain boling, berskating atau makan-makan, berbual dan berbincang tentang topik yang digemari atau bermain/mendengar muzik bersama.
Sekiranya kamu mengenali seseorang rakan tertentu yang sememangnya ’kaki bahan lucah’, elakkan bergaul rapat dengannya kerana adalah sukar untuk menolak ajakan yang berulangkali. Sekiranya anda mengesyaki bahan lucah akan ditonton semasa perjumpaan dengan geng atau dalam parti, elakkan dari menyertainya.Jika anda sudah pun berada dalam situasi tersebut, segera beredar dengan memberi berbagai alasan seperti mempunyai temujanji dengan keluarga atau berasa kurang sihat.Jika perlu, buat aduan kepada orang yang berpengaruh seperti ibubapa, guru, kaunselor dan orang yang dipercayai. Menyimpan dan mengedar bahan lucah atau pornografi adalah menyalahi undang-undang dan juga amat bersalahan dari segi moral. Hayatilah kehidupan remaja yang sihat tanpa pornografi.
Leave a Reply