Wajarkah Remaja Bercinta?

Perasaan cinta di peringkat remaja mempunyai hubungan yang rapat dengan tahap perkembangan individu semasa remaja mengalami perubahan fizikal dan perkembangan hormon yang pesat. Perubahan dan perkembangan ini mencetuskan naluri seksual semula jadi yang kuat yang tidak pernah dialami oleh remaja sebelum ini. Disinilah timbulnya perasaan dan keinginan untuk berdamping rapat dengan individu berlainan jantina sehingga akhirnya mula timbul perasaan kasih dan cinta kepada pasangannya.  Keinginan dan perasaan ini adalah normal.

Apabila remaja mula merasa dihargai dan disayangi dalam perhubungan tersebut dan dengan mudahnya melafazkan kata-kata yang romantik secara lisan semasa bercinta seperti “ Saya benar benar mencintai awak” atau  “awaklah satu satunya insan yang paling saya cintai” atau “Segalanya hanyalah untuk awak” atau “Saya sanggup berkorban segalanya untuk awak”. Sehinggakan ada dikalangan remaja yang sanggup menyerahkan segala-galanya atau kesucian diri kerana terlalu cinta dan percayakan pasangannya.  Ini kerana ada remaja yang lupa diri hingga mengabaikan tanggung jawab peribadi apabila hanyut dengan pasangan masing-masing hingga mengenepikan kebajikan diri dan keluarga.

Wajarkah atau salahkan remaja bercinta?  Persoalan ini sering ditanya oleh remaja kerana mereka merasakan mereka berhak untuk menjalinkan  hubungan cinta,  disayangi, dicintai dan mencintai teman wanita atau lelakinya.  Adakah remaja benar-benar faham tentang konsep cinta?   Cinta merupakan suatu bentuk tingkah laku sosial manusia yang berlaku dalam situasi-situasi pertukaran sosial. Cinta sememangnya mempengaruhi minda, perasaan dan tindakan.  Ianya dapat diperhatikan dengan mata kasar melalui perlakuan, tindakan  dan juga terselindung diminda dan perasaan.  . Ada beberapa jenis cinta remaja antaranya:-

i. CINTA BERAHI

Rasa cinta begini dirangsang oleh kebangkitan fisiologikal yang mencetuskan rasa berahi. Rasa berdebar, resah, gelisah, fikiran tidak keruan adalah sebahagian daripada kesan reaksi cinta berahi. Kesan berahi ini membangkitkan tenaga seksual dalam diri remaja. Rasa berahi ini akan reda bila keinginan dipenuhi. Ada dikalangan remaja meredakan kesan rasa berahi ini dengan merancap, melihat gambar pornografi, video lucah, menghantar what apps kepada pasangannya dengan kata-kata yang ghairah atau sebagainya. Cinta berahi ini tidak akan kekal lama kerana ia tiada hala tuju, seorang saja menaruh harapan.

ii. CINTA KOSONG

Ianya hanya lafaz cinta dibibir sahaja dan tidak dalam diri, fikiran dan emosi serta tindakan.  Cinta jenis ini tiada komitmen dan keintiman, hambar dan semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu sahaja.  Ianya berlaku dalam jangkamasa yang singkat dan tidak berkekalan.

iii. CINTA BODOH

Cinta jenis ini merupakan runtunan nafsu ghairah semata-mata. Remaja yang terjebak dalam cinta jenis ini tidak menggunakan kebijaksanaan akal fikiran dan kewarasan. Individu mudah menyerahkan segala yang ada pada diri samada dalam bentuk material dan/atau psikologi semata-mata untuk mendapatkan perhatian, pengikhtirafan dan sentiasa ingin terus bersama dengan pasangannya.  Harga diri, maruah diri berkemungkinan tergadai melalui tingkah laku cinta bodoh. Cinta seperti ini tidak berkekalan kerana pasangan tidak menunjukkan keintiman perhubungan yang ikhlas, tulus dan suci murni.

iv. CINTA MONYET

Cinta monyet mementingkan keseronokan dan ianya bersifat percubaan. Cinta jenis ini dilihat sebagai suatu bentuk tingkahlaku yang melambangkan ciri-ciri awal kedewasaan, kematangan dikalangan remaja. Ganjaran psikologi yang diterima bila rakan-rakan sebaya mengikhtiraf jalinan perhubungan cinta yang berlaku. Kebiasaanya cinta monyet ini terjalin semasa remaja dialam persekolahan dan ianya tidak berkekalan.

v. CINTA SUCI MURNI

Cinta suci murni ini lahir daripada perasaan yang tulis ikhlas. Mencintai seseroang bukan kerana hawa nafsu, material, kecantikan tetapi menerima pasangan seadanya. Cinta jenis ini tidak dibina dalam jangkamasa yang pendek.  Ianya berlaku bila ikatan perhubungan berkekalan dalam jangkamasa yang lama. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menikmati cinta suci dan keinginan untuk bersama dengan pasangan adalah milik diri yang unggul. Melalui cinta suci murni, kedua dua pasangan berusaha untuk terus bersama tanpa rasa untuk memilih, mencari orang lain sebagai pengganti.

Berdasarkan jenis cinta di atas persoalanya adakah remaja boleh mengekalkan hubungan cinta mereka? Kewajaran untuk menjalinkan perhubungan interpersonal yang intim diperingkat usia muda perlu melihat kepada keperluan cinta dan keupayaan diri. Remaja perlu mengawasi diri, menggariskan batasan, had dan sempadan pada minda serta perasaan dan tingkahlaku sewaktu menjalinkan perhubungan secara interpersonal.  Dalam percintaan remaja menjadi begitu asyik, leka dalam dunia cinta yang indah, terlalai dan lupa diri, mengabaikan tanggungjawab peribadi sehingga hanyut dengan pasangan masing-masing hingga mengenepikan kebajikan diri dan keluarga.  

Memang tidak dinafikan ada cinta remaja yang mendorong kepada kejayaan dan berakhir dengan perkahwinan. Namun secara umumnya cinta semasa remaja lebih banyak membawa kesan negatif berbanding dengan kebaikan. Ini disebabkan umur yang masih muda, pengalaman yang terhad dan fikiran yang belum matang sepenuhnya. Cinta remaja lebih mengikut perasaan, dikuasai emosi dan melekakan. Akibatnya remaja mudah terpadaya dan terlanjur dalam hubungan yang merosakkan akhlak dan menimbulkan pelbagai masalah sosial. Cinta yang melekakan menyebabkan remaja lupa tanggungjawabnya terhadap pelajaran.

Remaja perlu menyedari bahawa mereka perlu memperseimbangkan antara tanggungjawab diri serta tanggungjawab keluarga dan usaha untuk menentukan halatuju dimasa depan. Jalinan perhubungan cinta yang dibina perlu diteliti, dihalusi, difikirkan sedalam yang mungkin kerana kesan psikologikal cinta berkecenderungan mempengaruhi diri remaja.  Remaja yang bercinta dan kemudian putus cinta pula akan mengalami pelbagai masalah emosi. Ini kerana remaja melihat cinta sebagai sangat unggul dan apabila putus cinta, ada remaja merasakan masa depan nya gelap dan kehidupanya musnah. Realitinya cinta remaja adalah sementara dan berkemungkinan besar tidak berkekalan dan bagi remaja yang kurang arif tidak berupaya bagaimana menguruskan minda, emosi apabila putus cinta sehingga memberi kesan derita psilologikal hingga menganggu kualiti kesihatan, kesejahteraan, kebahagiaan diri fizikal, mental dan spiritual.

Cinta di peringkat usia muda remaja lebih merupakan suatu bentuk permainan interpersonal yang bersifat psikologikal yang tercetus dan berkembang di dalam diri. Walaupun cinta remaja adalah suatu permainan psilologikal ianya tetap memberi kesan yang mendalam. Cinta itu fitrah kurniaan Tuhan. Cinta suatu perasaan emosi yang dialami semua manusia disetiap peringkat kehidupan. Cinta yang matang dan murni adalah cinta yang berlandaskan perasaan tanggungjawab terhadap agama, ibu bapa, diri sendiri dan orang lain. Perasaan cinta ini dikawal oleh akal fikiran, bukannya mengikut nafsu dan perasaan.  Cinta matang mampu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran serta lebih kekal.

Seharusnya remaja perlu mewujudkan persahabatan dengan membina rangkaian kawan yang besar dan tidak menghadkan tumpuan dan pergaulan kepada seorang rakan yang istimewa sahaja. Persahabatan yang jujur dalam kumpulan yang besar lebih utama daripada bercinta. Salurkan perasaan cinta yang muncul kepada pelbagai kegiatan yang berfaedah seperti mendahului tanggungjawab terhadap agama, pelajaran, kemajuan diri dan ibu bapa dan masa depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *